Isnin, 30 Ogos 2010

'MUSLIM' PENCEMAR ISLAM

dialogue.JPG
Peserta IYEP membentangkan idea mereka tentang Conflict Solutions
Inter-Civilizational Youth Engagement Program (IYEP) yang baru melabuhkan tirainya semalam, telah memberikan saya pelbagai suntikan idea tentang pelbagai perkara. Banyak yang perlu dianalisa, justeru banyak juga yang perlu ditulis untuk dikongsi bersama pembaca.
Rata-ratanya, saya amat berpuas hati dengan kualiti peserta. Setiap seorang yang memohon untuk menyertai program ini perlu menulis sebuah karangan untuk menyatakan sebab minatnya kepada program seperti ini, dan ia diikuti dengan temubual melalui telefon kepada peserta.
Nyata sekali, assessment itu telah berjaya memilih peserta yang tepat dan saya amat teruja dengan tahap pengetahuan anak-anak muda ini dengan pelbagai isu yang diperkatakan.
Hinggakan Karen Armstrong sendiri mendapat pelbagai “bahan baru” yang beliau mohon kebenaran peserta untuk menggunakannya di dalam ucapan dan penulisan. Sememangnya sesi soal jawab dan bengkel telah menonjolkan bahawa 50 warga IYEP kali ini adalah pemimpin masa depan yang hebat, semoga Allah memanjangkan umur saya untuk menyaksikannya.
Namun, keghairahan dan kegembiraan kami dengan pelbagai pengalaman baru, telah tercemar oleh suatu insiden yang amat memalukan, khususnya di pihak Islam.

LAWATAN KE RUMAH IBADAT
depart.JPG
Peserta bersiap sedia menaiki bas untuk lawatan ke rumah ibadat
Pada hari kedua program, kami telah merangka lawatan ke Kuil Hindu dan Buddha serta Gereja Katholik di Kajang. Lawatan dijangkakan berakhir dengan kunjungan kami ke sebuah masjid terkemuka di tanah air kita.
Urusan telah dibuat sejak sekian lama dan pelbagai aturcara telah disusun.
Paling mengagumkan kami ialah kesungguhan Kuil Hindu yang mengatur pelbagai acara, menyediakan makanan vegetarian untuk peserta dan juga mengadakan sesi soal jawab untuk peserta.
Kesungguhan yang sama juga ditunjukkan oleh Kuil Buddha yang kami lawati. Sesi dialog amat menarik. Walaupun ada soalan “mengarut” dari peserta tetapi ia dijawab dalam suasana yang ceria dan gembira oleh setiap yang berada di situ kerana tujuan kunjungan kami adalah untuk belajar.
Di peringkat pengaturcaraan program, Gereja Katholik kelihatan agar gementar. Melalui diskusi sebelum berlangsungnya IYEP, nampak sedikit kerisauan dan kami memahaminya kerana perkembangan semasa di Malaysia yang agak panas (Kes Lina Joy dan lain-lain). Namun, akhirnya kami berjaya mengatur lawatan yang sungguh harmoni dan paling saya hargai ialah, paderi yang sepatutnya menyambut kami telah meminta bantuan pegawai lain memandangkan dirinya terpaksa ke hospital untuk pemeriksaan jantung.
Suasana dialog sungguh baik.
Kami telah beberapa kali mengingatkan peserta agar menjaga suasana dengan tidak bersuara tinggi semasa di gereja itu. Suasana sepi adalah sangat penting bagi sebuah gereja Katholik. Namun, orang muda tetap orang muda. IYEP kali ini menerima peserta yang ada sangat banyak bahan untuk dingomelkan. Akan tetapi pihak gereja amat berlapang dada dan tersenyum sahaja dengan kerenah sesetengah peserta.
kuilhindu.JPG
Peserta IYEP semasa sesi dialog di Kuil Hindu di Kajang
kuilbuddha.JPG
Kuil Buddha juga bersungguh–sungguh menyambut kami
Selepas lawatan selesai, kami dengan penuh girang dan ceria menuju ke masjid terkemuka tersebut.
MASJID OH MASJID
Semasa tiba, tiada siapa yang menyambut kami.
Kakitangan keselamatan pula menyulitkan peserta kerana tidak mengizinkan penggunaan beberapa tandas.
Alhamdulillah seorang juruteknik telah memberikan kami CD berisi video klip untuk ditayangkan kepada peserta. Segalanya kami lakukan sendiri dan amat mendukacitakan apabila video klip selama 10 minit itu hanya ghairah bercerita tentang aspek-aspek seni bina masjid itu sahaja, tanpa ada langsung menyentuh tentang Islam sebagai intipati sebuah masjid.
Soal jawab dikendalikan oleh Komiti IYEP.
Rasa tidak selesa tidak terhenti di situ.
50 peserta telah bersedia untuk masuk ke masjid dan yang perempuan telah pun memakai tudung dan jubah yang disediakan.
“Berhenti! Orang bukan Islam hanya boleh sampai di sini sahaja!” sergah seorang kakitangan keselamatan masjid.
“Jangan cemar kesucian masjid ini!” katanya lagi.
Kesemua peserta terkejut. Saya sendiri sudah panas telinga.
“Encik, kami sudah buat urusan sejak lebih sebulan yang lalu” salah seorang AJK memberikan penjelasan.
“Mana surat Imam? Kalau tak ada surat Imam, tak boleh masuk. Waktu lawatan sudah habis!” pekerja tersebut bercakap dengan begitu kasar kepada kami. Manakala dua tiga orang yang lain sibuk mengepung tangga masjid agar peserta yang sangat teruja ingin melihat masjid, tidak menjejakkan kaki ke atas anak tangga.
Kami cuba mendapatkan Imam, tetapi malang sekali kerana Imam sudah balik. Ada pegawai memberi alasan yang Imam balik kerana kami datang selepas waktu pejabat sedangkan Imam harus bersiap sedia sebelum datang ke masjid semula malam nanti.
Ada pegawai memberikan alasan lain, bahawa kononnya Imam ada urusan dengan anaknya!
Paling mendukacitakan kami, usaha kami untuk mendapatkan penjelasan dibalas dengan herdikan dan suara nada tinggi.
“Encik bagi surat lambat kan?” salah seorang kakitangan masjid cuba membuat tuduhan liarnya.
“Jangan cakap sebarang cakap. Rujuk balik surat menyurat dan panggilan telefon yang sudah dibuat. Kira berapa hari, berapa minggu, berapa bulan!” saya panas hati dengan kelakuan mereka.
“Apa-apa pun, memang orang bukan Islam TIDAK BOLEH masuk ke masjid. Itu peraturannya”, salah seorang ustaz yang ada meninggikan suara.
“Peraturan siapa? Peraturan agama? Apa yang saya tahu, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menerima semua jenis manusia ke dalam masjid. Soal jawab di dalam masjid. Malah badwi Arab sampai kencing di dinding masjid. Tetapi Rasulullah tidak menegah mereka dari mengunjunginya. Hukum mana yang tuan pegang?” saya cuba mencari penjelasan.
“Saya pergi ke kuil Hindu, Buddha dan Gereja Kristian… saya senang hati dan gembira. Tapi bila saya datang ke tempat saya sendiri, masjid ini… saya sakit hati dengan cara masjid melayan tetamu. Kami bukan walk-in tourists. Kami sudah berurusan dengan masjid sejak sekian lama” saya masih belum berpuas hati.
Tangan pun sudah seram sejuk menahan marah.
Andaikata tidak boleh sekali pun, kakitangan masjid sepatutnya boleh menjelaskan hal ini dengan cara yang beradab. Tetapi kami diherdik, dimaki hamun, dan apabila saya menyebut begitu, saya memang maksudkan ia sebagai HERDIK dan MAKI HAMUN.
“Masalahnya kamu datang selepas waktu pejabat. Sebab itu tak ada orang nak layan” kata salah seorang mereka.
“Kami bukan datang mengejut. Memang sejak awal kita sudah bersetuju bahawa lawatan ini ialah pada waktu petang seperti ini. Paderi yang sakit boleh minta bantuan pegawai lain, tapi Imam tak boleh dapatkan pengganti?” saya semakin berang. Menggigil menahan kemarahan.
“Sekarang ini, peserta program ini datang dari berpuluh negara di seluruh dunia. Mereka juga pernah melawat pelbagai masjid di sana sini. Hari ini, semua orang seronok ke gereja, ke kuil Hindu dan Buddha, tetapi kena maki hamun di masjid. Kalau orang tak minat dengan Islam, orang Murtad, kamu nak salahkan siapa? Cuba cakap dengan saya… alangkan saya yang Muslim pun sakit hati, orang lain apatah lagi!” saya bertanya lagi. Menuntut penjelasan.
Pelbagai alasan yang mereka berikan. Akhirnya mereka berkata bahawa mereka menerima arahan orang atas untuk tidak membenarkan orang non Muslim masuk ke masjid.
“Oh, orang atas. Kalau orang atas cakaplah orang atas. Jangan cakap hukum Islam, sebab Islam tak macam tu” saya meneruskan cakap.
“Kenapa orang boleh buat benda tak elok atau cakap yang tak elok dalam masjid? Sebab tak ada orang masjid yang nak jawab soalan, melayan tetamu. Macam hari ini!” kata saya lagi.
Perasaan bertukar menjadi sedih.
Saya sudah malas untuk meneruskan perbalahan kerana jam pun sudah mencecah 6:15 petang.
Banyak lagi isu yang dipergaduhkan di sepanjang 20 minit pertengkaran saya dengan pegawai masjid tersebut.
‘SAPU SAMPAH!’
Semasa sharing moment peserta di hotel pada sebelah malamnya, isu ini timbul semula. Saya terpaksa membuat justifikasi agar maruah Islam tidak jatuh dan hina disebabkan oleh kelakuan buruk “orang-orang agama” Islam itu sendiri.
I’m hoping that the incident occurred in the Mosque today, would be a positive lesson for each of us. Even though we have many ideal solutions to offer, we have to admit that people out there are far for ready to accept changes in attitude about religion.
In order to achieve our dream, we must first be able to think positive and learn to differentiate between the custom and widespread misunderstanding among the people, with the true Islam that is so far away from what we have seen today“ saya cuba menenangkan peserta.
Saya cuba berkongsi pengalaman dengan peserta tentang pemerhatian dan pengalaman saya sendiri semasa menjadi Imam di Belfast Islamic Centre.
Mudah-mudahan usaha yang sedikit ini dapat memulihkan kembali imej Islam yang telah diburukkan oleh pihak masjid dan orang-orangnya siang tadi.
Karen Armstrong telah lebih berjaya mengangkat imej Islam berbanding “ceramah” dan akhlaq orang Islam sendiri.
Saya menangis sendirian di bilik hotel mengenangkan insiden yang amat mendukacitakan ini.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Isnin, 9 Ogos 2010

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL MUBARAK

KEPADA AYAH, EMAK DAN SEMUA ADIK BERADIK DIUCAPKAN SELAMAT BERPUASA RAMADHAN AL MUBARAK.

(BACAAN UNTUK MENAMBAH PENGETAHUAN - BERAMAL DENGAN ILMU)

KEKELIRUAN TENTANG SOLAT TARAWIH

Disiarkan pada Aug 06, 2010 dalam kategori Fatwa |
sinar3.jpg

Soalan: Yang dikasihi Dr Asri, menjelang Ramadan, baru-baru ini ada penceramah yang berceramah menyatakan bahawa sesiapa yang solat tarawih kurang dari dua puluh rakaat tidak sah. Beliau juga menyata Saidina Umar orang pertama mengadakan solat tarawih berjemaah, maka tidak mengapa kita mencipta ibadah baru sekalipun Nabi s.a.w tidak pernah ajar. Beliau kata juga sesiapa yang solat tarawih tapi tidak berselawat beramai-ramai seperti yang biasa dilakukan di tempat kita maka tidak ikut amalan Saidina Umar dan sesat. Soalan saya, betulkah demikian?

Khir, Shah Alam.

Jawapan Dr MAZA: Saudara, semoga kita semua menyambut kedatangan Ramadan kali ini dengan ibadah yang diterima Allah. Semoga jiwa kita semua penuh keikhlasan dan kasih-sayang sesama muslim. Malang sekali, fanatik atau taksub telah melahirkan penceramah-penceramah yang ‘terbabas’ sehingga berbicara apa sahaja yang dia suka tanpa menyemak terlebih nas-nas yang sabit. Untuk soalan saudara saya sentuh beberapa perkara berikut;

1. Sebenarnya, solat tarawih berjemaah yang pertama dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Sesiapa yang membaca hadis, akan menemui hal ini. Daripada Aishah r.aha:
“Sesungguhnya RasululLah s.a.w keluar pada suatu pertengahan malam. Baginda solat di masjid (Masjid Nabi). Beberapa orang mengikut solat baginda. Paginya orang ramai pun bercerita mengenainya. Maka berkumpul lebih ramai lagi (pada malam kedua), baginda pun solat, mereka solat bersama baginda. Paginya orang ramai pun bercerita. Maka bertambah ramai ahli masjid pada malam ketiga. RasululLah s.a.w keluar bersolat, mereka solat bersama baginda. Apabila malam keempat, masjid menjadi tidak muat dengan orang yang hadir. (Baginda tidak keluar) sehinggalah baginda keluar pada solat subuh. Selesai solat subuh, baginda mengadap orang ramai, baginda bersyahadah, dan bersabda amma ba’d, sesungguhnya bukan aku tidak tahu penantian kamu, tetapi aku bimbang difardukan ke atas kamu lalu kamu tidak mampu. Sehinggalah RasululLah s.a.w wafat dalam keadaan begitu (tiada jamaah tarawih di masjid)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini dengan jelas menunjukkan Nabi s.a.w yang memulakan solat qiam atau disebut sebagai tarawih secara berjemaah dengan satu imam. Bukan ‘Umar r.a yang memulakannya. Namun baginda berhenti kerana bimbang ia menjadi kefarduan disebabkan simpati baginda kepada umat. Ini kerana zaman tersebut adalah zaman wahyu diturunkan atau zaman pensyariatan. Baginda tidak berhenti kerana ia salah atau tidak diizinkan, namun berhenti bimbangkan Allah fardukan kepada umat sedangkan umat ini mungkin ada yang tidak sanggup.
Maka dari hadis ini, solat tarawih berjemaah adalah sunnah yang jelas. Mereka selama tiga hari telah solat di belakang baginda. Jika tidak kerana kebimbangan itu, tentu baginda meneruskannya. Apabila baginda wafat kebimbangan itu tiada lagi. Wahyu sudah terputus. ‘Umar pun menghidupkannya kembali. Pada zaman Abu Bakr, terlalu singkat masanya, dan mungkin beliau tidak berkesempatan menguruskan hal tersebut disebabkan berbagai kesibukan seperti kes murtad dan seumpamanya, atau beliau tidak melihat keperluan untuk itu.
2. Justeru itu al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H) dalam karyanya al-I’tisam mengulas hadis ini dengan berkata:
“Renungilah hadis ini. Ia menunjukkan kedudukan solat tarawih adalah sunat. Sesungguhnya solat baginda pada peringkat awal menjadi dalil menunjukkan kesahihan menunaikannya di masjid secara berjamaah pada bulan Ramadan. Baginda tidak keluar selepas itu adalah kerana bimbang difardukan. Tidak menunjukkan ia dilarang secara mutlak. Ini kerana zaman baginda ialah zaman wahyu dan tasyri’ (perundangan)..” (m.s 147, Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).
Adapun berhubung dengan perkataan Saidina ‘Umar yang menyebut solat tarawih pada zamannya “sebaik-baik bid’ah hal ini”, al-Imam al-Syatibi mengulas:
“Dia menamakannya bid’ah hanya disebabkan pada zahirnya setelah mana RasululLah s.a.w meninggalkannya. Sepakat pula ia tidak berlaku pada zaman Abu Bakr r.a. Bukannya bid’ah pada makna (syarak). Sesiapa yang menamakan bid’ah disebabkan hal ini (muncul semula), maka tiada perlu perbalahan dalam meletakkan nama (istilah). Justeru itu tidak boleh berdalil dengannya untuk menunjukkan keharusan membuat bid’ah” (m.s 147-148).
Maksudnya bid’ah yang disebut oleh Saidina ‘Umar adalah disudut baru muncul semula setelah Nabi s.a.w tinggalkan, maka ia dari segi bahasa boleh dinamakan bid’ah. Bukan bererti keharusan membuat bid’ah yang dilarang syarak.
3. Berdasarkan riwayat yang sahih dalam al-Muwata karya al-Imam Malik bin Anas, bilangan rakaat yang Saidina Umar perintah dilaksanakan adalah sebelas rakaat. Kata al-Saib bin Yazid:
“Umar telah memerintahkan Ubai bin Ka’ab dan Tamim al-Dari untuk menjadi imam kepada orang ramai sebanyak sebelas rakaat” (Riwayat Malik).
Maka dengan itu riwayat al-Baihaqi melalui Yazid bin Khasifah daripada al-Saib bin Yazid yang menyebut bilangan yang ‘Umar perintahkan sebanyak dua puluh rakaat adalah bercanggah dengan riwayat sebelas rakaat yang sahih tadi. Sedangkan dari segi kekuatan riwayat, riwayat sebelas rakaat itu lebih kuat, maka riwayat dua puluh dianggap shaz (ganjil) kerana menyanggahi rawi yang lebih kuat.
Justeru, riwayat dua puluh dihukum daif oleh sesetengah ahli hadis. Sebahagian pula menerima riwayat Yazid bin Khasifah dan mentakwilkan bahawa ada hari Umar memerintahkan sebelas rakaat dan ada hari pula yang diperintahkan dua puluh. Apapun, hadis al-Imam Malik tadi yang menyebut sebelas rakaat menafikan dakwaan yang menyatakan sesiapa yang solat tarawih beserta witir sebelas rakaat tidak sah. Itu adalah dakwaan yang melampau dan zalim.
4. Sebenarnya, para ulama salaf solih sendiri berbeza pendapat tentang bilangan rakaat bagi solat tarawih bersama witir. Antaranya, pendapat yang menyatakan empat puluh satu, tiga puluh sembilan, dua puluh sembilan, dua puluh tiga, tiga belas dan sebelas. Adapun dari segi riwayat amalan Nabi s.a.w, Ummul Mukminin Aishah r.aha ditanya mengenai solat Rasulullah s.a.w pada bulan Ramadan, jawab beliau:
“Rasulullah s.a.w tidak pernah melebihi sebelas rakaat samada dalam bulan Ramadan ataupun selainnya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini juga menunjuk perbuatan mencela solat tarawih sebelas rakaat adalah menyanggahi sunat Nabi s.a.w. Bahkan ramai ulama hadis yang mengutamakan bilangan sebelas rakaat ini sebagai mencontohi Rasulullah s.a.w.
5. Saya bersetuju dengan pendapat bahawa tiada had rakaat yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w. dalam hal ini. Seseorang beribadah berdasarkan kemampuannya. Nabi s.a.w tidak pernah menetapkan, bahkan memberikan keluasan dalam hal tersebut dengan menyatakan solat malam dua rakaat, dua rakaat sehingga apabila hendak masuk subuh berwitirlah. Lajnah Tetap dan Kajian Ilmiah serta Fatwa, Arab Saudi sendiri ketika mengulas hal menyebut:
“Tiada menjadi salah untuk menambah lebih dari sebelas kerana Nabi s.a.w tidak pernah menghadkannya sedikit pun. Bahkan apabila ditanya tentang solat malam baginda menyebut: “Dua rakaat, dua rakaat (secara dua rakaat setiap solat), jika seseorang kamu bimbang masuk waktu subuh, maka solatlah satu rakaat sebagai witir kepada apa yang telah dia solat sebelum” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis ini baginda tidak menghadkan sebelas atau selainnya. Ini menunjukkan ada keluasan dalam solat malam pada Bulan Ramadan atau selainnya”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 7/195, Riyadh: Riasah Idarah al-Buhuth).
6. Adapun dakwaan bahawa sesiapa yang tidak berselawat semasa solat tarawih sesat maka itu adalah dakwaan yang melampau. Apakah beliau ingin menyatakan seluruh dunia Islam yang sebahagian besarnya tidak berselawat, termasuk Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabi itu sesat?!
Selawat beramai-ramai semasa solat tarawih itu tidak dilakukan di zaman Saidina Umar, juga khalifah al-Rasyidin yang lain. Jika pada zaman Saidina Umar dan Saidina Uthman mereka bersalawat dan menyebut nama khalifah-khalifah selepas Nabi s.a.w seperti yang dilakukan oleh sesetengah pihak di negara ini, tentulah para sahabat tidak tertanya-tanya lagi siapakah bakal mengganti kedua khalifah tersebut selepas kewafatan mereka. Tentu tiada perbincangan lagi dalam menentukan para khalifah semasa zaman sahabah. Ini menunjukkan hal ini tidak dilakukan oleh para sahabah. Mencontohi Nabi s.a.w dan para sahabah dalam ibadah adalah paling baik dan selamat.
7. Di sana ada riwayat yang sahih
“bahawa Nabi s.a.w berwitir dengan membaca Surah al-A’la, al-Kafirun dan al-Ikhlas. Baginda menyebut selepas memberi salam Subhana al-Malik al-Quddus sebanyak tiga kali dengan memanjang dan mengangkat suara baginda” (Riwayat al-Nasai, Abu Daud dan Ahmad).
Maka, jika kita mencontohi perbuatan tersebut, ia merupakan sunnah.